Tak sampai pun seminggu, tapi kali ini sudah kali ketiga.
Terjaga sebelum azan subuh, dan terasa seperti ada yang memanggil.
Kalau sebelum ini hati cuma berdiam dan tak ambil peduli, tapi kali ini dia meronta-ronta minta dilepaskan, agar bisa menyahut panggilan itu.
Mama dan papa pula tiba-tiba membangkitkan hal yang sama, seolah-olah bisa membaca apa yang aku sedang ligat fikirkan.
It runs in your blood, on your father's side.
Bukan saka mencari waris, tapi darah keturunan warga pendidik--memperturunkan ilmu kepada anak bangsa.
Aku cuba bilang berapa ramai saudara-mara dari sebelah sana, setakat mana yang aku kenali. Cuba mengukur sejauh mana kebenaran kenyataan yang baru aku dengar tadi.
Cuba bilang pakai jari. Tak cukup pula jari di tangan. Ramai juga ya. Betullah agaknya.
Kalau engkau hendak, engkau cubalah mohon. Selagi jasad masih bernyawa, selagi itulah ilmu harus kita timba. Tak ada 'expiry date'. Belajarlah sampai masuk liang lahad.
Besar ganjarannya kalau mengajar ilmu kepada orang lain. Bukan saham dunia yang dimaksudkan, tapi saham akhirat.
Jujur aku katakan, hendak mendengar mama dan papa berkata begitu boleh diibaratkan seperti menanti bulan jatuh ke riba. Payah sekali. Semacam mustahil.
Tapi hari ini seperti ada kuasa yang mempengaruhi perjalanan hari, kuasa yang mempengaruhi mereka untuk merestui andai aku memilih untuk beralih arah ke jalan itu. Selalunya mereka bilang jangan buang masa. Umur sudah meningkat. Perlu kewangan stabil, justeru harus merebut peluang dalam job market dan kumpul aset untuk hari tua.
Terdiam seketika. Minda semakin ligat berfikir dan bertanya kepada diri.
Soalan pertama cuma ada dua patah perkataan -- "What if?"
Soalan yang sudah terlalu lama terdetik di hati. Bukan dalam minggu ini, bukan juga minggu sudah, tapi bertahun-tahun lamanya.
Pertanyaan lain pula muncul.
Aku tahu hendak jadi pendidik dalam sistem sekarang bukanlah senang. Jadi mampukah aku?
Aku juga tahu usiaku sudah lewat 20-an. Jadi terlambatkah aku?
Pertanyaan seterusnya tiba-tiba beralih bahasa. Will I be doing the right thing?
Aku pasti saudara-mara akan bising dan berkata jangan. Seperti mana pendirian mama dan papa dahulu. Usah buang masa. Teruskan sahaja apa yang engkau sedang lakukan sekarang. Sayang kalau engkau tinggalkan. Mengapa perlu masuk sekolah kembali dan mengaji kembali? You are not getting any younger.
Ah, cukup benci konflik dalaman seperti ini.
Maka hati terus meronta, kerana panggilan itu semakin jelas kedengaran dan bisa bikin diri tak tentu arah memikirkannya usai pulang dari syif malam ini.
Segulung ijazah yang menyatakan kelayakan akademikku adalah dalam bidang TESL, bayangannya semakin jelas kelihatan.
Aku perlukan pendapat kalian, serta petunjuk dari-Nya.
Berat benar hati ini untuk meninggalkan zon selesa dan mengorak langkah ke arah yang berbeza. Bab-bab mengajar aku memang suka. Menulis apatah lagi, tanpa ragu-ragu aku bilang aku sememangnya teramatlah cinta. Bidang kerjaya aku sekarang juga sama. Minat itu memang ada.
Sekarang persoalannya aku pun tak tahu ada berapa. Berbaloikah kalau aku tinggalkan semua ini untuk itu? Menyesalkah aku nanti? Mungkinkah benar pepatah orang putih--the grass is not always greener on the other side?
Berapa kali aku bertanya kepada diri sendiri--ah, aku pun tak terkira. Betul ke engkau mahu?
Ya, tapi...
Mesti ada tapinya.
Saat ini aku dambakan kekuatan seperti yang digambarkan dalam puisi Robert Frost, The Road Not Taken.
Baiklah, masa untuk berfikir lagi.
Wahai jawapan, cepatlah datang.
Wahai minda, lekaslah buat keputusan.
Wahai hati, tenanglah kau hadapi semuanya nanti.
Wah, sudah lama tak menulis dalam bahasa ibunda. Takut nanti ada yang mengata, perasan diri mat saleh lah pula. Sekali-sekala (sepatutnya harus selalu) kita kembali ke asal-usul kita. Tak salah kan?